Monday, 26 December 2011

Latihan Kefahaman

Untuk menguji kefahaman pelajar berkaitan dengan tajuk jenis-jenis ayat, pelajar dikehendaki menyatakan jenis-jenis ayat di bawah.

1) Siapa nama kamu?
2) Ayah sedang bekerja.
3) Ibunya meninggal?
4) Wah, besarnya rumah kamu!
5) Silakan masuk makcik.
6) Jangan ganggu saya lagi!
7) Buang sampah yang ibu ikat itu!
8) Aminah sedang membaca buku.
9) Amboi, cantiknya baju kamu!
10) Tolong sidai pakaian yang telah dibasuh.

Latihan ini akan dibincangkan semasa sesi pembelajaran akan datang.  Setiap pelajar dikehendaki menyalin semula ayat-ayat di atas dan menyatakan jenis-jenisnya di dalam buku latihan BM 1.

Ayat Permintaan

Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata-kata permintaan seperti minta atau tolong dengan maksud memohon bantuan atau meminta sesuatu.  Contohnya :-

1) Minta murid-murid semua bertenang.
2) Tolong angkat sampah ini.
3) Tolong tutup pintu depan.

Ayat Silaan

Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti jemput, mari, sila dan sebagainya dengan maksud mempersilakan atau menjemput seseorang.  Misalnya :-

1) Jemput makan.
2) Mari masuk.
3) Sila duduk.

Ayat Larangan

Ayat larangan sering menggunakan kata-kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah sebelum kata kerja dengan maksud menegah atau melarang seseorang melakukan sesuatu.  Misalnya :-

1) Jangan memandai-mandai!
2) Usah dikenang peristiwa lalu.
3) Tak usah kau datang lagi.

Ayat Suruhan

Ayat suruhan merupakan ayat yang diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau suruhan.  Subjek berupa ganti nama kedua seperti awak, kamu, engkau dan lain-lain lagi lazimnya digugurkan.  Contohnya :-

1) Tembak anjing gila itu.
2) Pergi dari sini!
3) Basuh pinggan mangkuk!

Ayat Perintah

Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh atau memerintah seseorang supaya berbuat sesuatu atau melakukan sesuatu.  Berdasarkan perkataan yang digunakan, ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu :-

1) Ayat Suruhan
2) Ayat Larangan
3) Ayat Silaan
4) Ayat Permintaan

Pelajar boleh mengikuti perbincangan dan contoh bagi setiap jenis ayat di atas pada entri yang berikutnya.

Ayat Seruan

Ayat seruan ialah ayat yang disertai kata seru seperti ah, amboi, cis, eh, syabas, wah dan lain-lain serta diakhiri dengan tanda seru (!) apabila dituliskan.

Contohnya :-

1) Amboi, cantik betul!
2) Cis, terimalah tikaman aku ini!
3) Syabas, engkau telah berjaya!
4) Wah, besar sungguh keretamu!